Kerjaya kelab Javier Pastore

Kerjaya awal

Pastore telah dilahirkan di Córdoba. Keluarga beliau merupakan keturunan asal Itali dari Volvera, Turin. Beliau memulakan kerjayanya bersama akademi kelab Talleres sebelum menyertai pasukan senior secara berperingkat. Pada tahun 2007, beliau telah melakukan penampilan pertama dalam Divisyen Kedua Argentina di bawah kendalian Ricardo Gareca. Pada tahun 2007, beliau hanya beraksi dalam lima perlawanan.

Huracán

Semasa musim 2008, Pastore telah dipinjamkan ke kelab Huracán yang beraksi di Primera Argentina. Beliau melakukan penampilan sulungnya untuk Huracán pada 24 Mei 2008 ketika tewas 1-0 kepada River Plate. Dalam kejohanan Clausura 2009, beliau telah menjadi pemain penting bagi pasukannya ketika di bawah kendalian Ángel Cappa. Persembahannya yang cemerlang ketika menentang River Plate mendapat perhatian umum apabila beliau menjaringkan gol pembukaan dari jarak 25 ela sebelum menjaringkan gol sekali lagi bagi membantu Huracán meraih kemenangan 4–0. Kejayaan ini merupakan kemenangan tersebar Huracán ke atas River Plate dalam masa 60 tahun. Beliau juga menjadi penjaring gol terbanyak kelab dengan menghasilkan tujuh gol dan tiga pembantu jaringan.

Palermo

Pastore semasa menjadi pemain Palermo

Pada 11 Julai 2009, Palermo secara rasminya mengumumkan Pastore telah menandatangani kontrak lima tahun sehingga 30 Jun 2014 dengan bayaran perpindahan kira-kira €4.7 juta. Sebelum berpindah ke Palermo, Pastore telah dikaitkan dengan perpindahan ke beberapa kelab Eropah yang terkemuka antaranya Manchester United, Porto, Milan dan Chelsea.[2]

Penampilan sulung Pastore hadir pada 15 Ogos dalam saingan Coppa Italia manakala penampilan pertamanya di Serie A pada lapan hari kemudian. Aksinya yang menarik pada 4 Oktober ketika menentang Juventus dengan membuat hantaran kepada Edinson Cavani untuk menjaringkan gol bagi membantu Palermo menang 2-0 telah mendapat liputan melalui akhbar-akhbar dan internet. Pastore menjaringkan gol pertamanya di Serie A pada 30 Januari 2010 ketika mereka kecundang 2-4 kepada Bari. Pada musim pertamanya di Palermo, Pastore telah membuktikan bahawa beliau merupakan pemain harapan namun masih kekurangan pengalaman apabila beliau sering menjadi pemain gantian pada separuh masa kedua permainan ketika di bawah bimbingan jurulatih Walter Zenga dan kemudian Delio Rossi.

Seterusnya, Pastore meyakinkan jurulatih Rossi bahawa beliau merupakan pemain berbakat dengan sering beraksi di belakang gandingan penyerang Fabrizio Miccoli dan Edinson Cavani. Hasil persembahannya, Palermo berjaya menamatkan musim di tempat kelima liga dan menempah tempat ke saingan Liga Europa. Dalam musim 2010–11, Pastore menjaringkan hatrik buat pertama kali dalam kariernya dalam pertembungan menentang Catania.[3] Pada 30 Julai 2011, presiden kelab Maurizio Zamparini mendedahkan bahawa merekea telah menerima tawaran yang dibuat daripada kelab Paris Saint-Germain untuk mendapatkan Pastore.[4]

Paris Saint-Germain

Pastore bermain untuk Paris Saint-Germain

Pada 6 Ogos 2011, Paris Saint-Germain secara rasminya mengumumkan pembelian Pastore dan beliau telah diberi jersi bernombor 27.[5] Bayaran perpindahan tersebut menelan kos sebanyak €39.8 juta. Walau bagaimanapun, disebabkan adanya pemilikan oleh pihak ketiga melalui ejennya Marcelo Simonian, dia hanya memperoleh €12.5 juta(tidak diketahui sama ada melibatkan bayaran ejen atau tidak). Palermo menerusi laman sesawangnya menyatakan bahawa pihaknya hanya menerima €22.8 juta daripada jumlah bayaran.

Presiden Palermo, Maurizio Zamparini telah memulakan tindakan undang-undang terhadap perkara yang berlaku walaupun Persekutuan Bola Sepak Itali telah melarang mana-mana kelab Itali daripada berunding dengan pihak ketiga.

Pastore menjaringkan gol pertamanya di Ligue 1 ketika perlawanan menentang Stade Brestois pada 11 September 2011.[6]

Ketika musim pertamanya di Parc des Princes, Pastore menjaringkan 13 gol dalam 33 perlawanan liga. Pada tahun berikutnya, Pastore tampil dalam 34 perlawanan liga yang menyaksikan PSG menjuarai gelaran liga.[7] Beliau juga menjaringkan gol pertamanya dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah ketika menewaskan FC Dynamo Kyiv 4-1 pada 18 September 2012.[8]

Pada musim 2014-15, Pastore telah melakukan 50 penampilan dan dinamakan sebagai Pasukan Pilihan UNFP oleh kerana kejayaan PSG merangkul empat kejuaraan domestik iaitu Ligue 1, Coupe de France, Coupe de la Ligue dan Trophée des Champions.

Dalam menghadapi musim 2016–17, Pastore telah mewarisi jersi nombor 10 selepas ketiadaan Zlatan Ibrahimović.[9] Pada musim 2015–16, beliau banyak terlepas daripada aksi perlawanan kerana mengalami kecederaan. Akan tetapi, beliau kembali ke kesebelasan utama PSG dalam perlawanan Le Classique menentang musuh tradisi Olympique de Marseille dan beliau membuat hantaran bola kepada Edinson Cavani untuk menjaringkan gol dalam kejayaan 5 berbalas 1 pada 26 Februari 2017.[10] Tiga hari berikutnya, beliau masuk sebagai pemain gantian dan menjaringkan gol pembukaan sebelum membantu jaringan kepada Cavani sekali lagi dalam aksi suku akhir Coupe de France 2016-17 menentang Chamois Niortias. Pada 19 Mac 2017, Pastore membantu kedua-dua gol PSG menerusi hantaran lintang kepada penjaring gol iaitu Adrien Rabiot dan Julian Draxler dalam meraih kemenangan 2-1 ke atas Olympique Lyonnais.[11] Pada 17 Mei 2017, Pastore tampil pada minit ke-72 dengan menggantikan Julian Draxler semasa PSG menundukkan Angers 1–0 dalam perlawanan akhir Coupe de France.[12]

Sebelum bermulanya musim 2017–18, beliau memberikan jersi nombor 10 kepada pemain baru Neymar sebagai hadiah selamat datang manakala beliau kembali semula menggunakan nombor lamanya iaitu nombor 27.[13]

Pada 8 Mei 2018, beliau menjadi pemain gantian dan membantu PSG melakar kemenangan 2–0 ke atas Les Herbiers VF untuk meraih trofi Coupe de France 2017–18.[14]

Roma

Pada 26 Jun 2018, Pastore telah menandatangani kontrak lima tahun dengan kelab Itali, Roma dengan bayaran sebanyak €24.7 juta dan beliau diberi jersi bernombor 27.[15] Beliau melakukan penampilan sulungnya untuk Roma ketika menang 1-0 ke atas Torino dalam perlawanan Serie A pada 19 Ogos.[16] Beliau menjaringkan gol pertamanya untuk kelab pada 7 Ogos dengan menjaringkan gol pembukaan ketika terikat seri 3-3 menentang Atalanta.[17]

Rujukan

WikiPedia: Javier Pastore http://www.afa.com.ar/4364/los-23-para-la-copa-ame... http://www.espnfc.com.au/club/paris-saint-germain/... http://www.asroma.com/en/news/2018/6/javier-pastor... http://kwese.espn.com/football/report?gameId=52279... http://de.fifa.com/worldcup/awards/bestyoungplayer... http://soccernet.espn.go.com/news/story/_/id/93847... http://soccernet.espn.go.com/players/stats?id=1028... http://www.goal.com/en/match/48771/palermo-vs-cata... http://www.goal.com/en/match/argentina-vs-uruguay/... http://www.javierpastore.com/